CORETAN 1
Kenapa dia orang tak boleh fikir? Dah tu cakap mama ni, macam tak sayang kakak? Pernah dengar ke mak ayah tak sayang anak. Sayanglah! Mana boleh tak sayang. Hati mak ayah, tak mungkin berbelah bahagi sayang kan anak. Mungkin perangai anak tu sendiri kot, buat mak ayah rasa kurang sayang. Tambah anak sulung, jarang dengar mak ayah tak sayang anak sulung.
Tapi mama sayang kakak bukanlah sebab kakak anak sulung. Malah yang lebih penting mama sayang kakak sebab kakak tak pernah lawan cakap mama. Apa mama cakap kakak dengar. Apa mama nasihat kakak ikut. Apa mama suruh kakak buat. Kakak tak pernah bantah cakap mama. Apatah lagi nak tinggi suara dengan mama. Pernah lah kot, sekali dua . Atau mungkin mama dah tak ingat. Tapi mama rasa macam tak pernah. Kalau ada pun mungkin kakak tak sengaja sebab ada kecik hati dengan mama mungkin .Apa yang mama tahu kakak ni selalu jaga hati orang. Takut orang tak suka, tak suka susahkan orang.
Kakak dari kecil memang tak banyak kerenah. Kakak memang budak baik. Kakak lembut orangnya walaupun kadang-kadang kedengaran kasar bila marah adik-adik. Tapi sebenarnya adik-adik tahu kakak tak suka marah-marah. Tak suka menyakiti hati adik-adik. Sebab tu adik-adik hormat sangat kat kakak.
Kakak, anak yang paling rajin. Anak yang boleh diharap. Anak yang tahu buat kerja tanpa disuruh. Semua adik-beradik mama dan adik-beradik daddy berkenan sangat dengan perangai kakak. Bahkan kawan-kawan selalu cakap ’ ehm anak kau baik’. Sampai mamapun tak sangka, satu hari Aunty Melur yang boleh tahan lagak dia tu, cakap, yang rupa dan perangai anak dia macam kakak, sebab dia berkenan sangat tengok perangai kakak. Sebab tu masa mengandung dia berdoa agar dia dapat anak macam kakak.Wah tak sangka. Terharulah mama dengar.
Nenek Johor pun berkenan sangat dengan perangai kakak. Asyik cakap, anak kau Liana tu budak baik. Nenek macam dah tak nampak yang anak-anak mama yang lain pun baik jugak. Bagi dia cuma kakak sahaja yang baik. Kakak sahaja yang rajin. Agaknya setiap kali, bila dia datang dia tengok kakak lah yang buat kerja-kerja di dapur.Dah memang sifat semula jadi kakak, kalau ada tetamu datang kakak rajin duduk dapur. Tolong mama itu, tolong mama ini. Kakak datang tolong kat dapur secara sukarela. Tak payah mama nak panggil-panggil, nak jerit-jerit. Kakak macam dah tahu itu tanggungjawab kakak. Tak payah tunggu mama suruh. Tu yang nenek Johor berkenan sangat perangai kakak.
Bukan sahaja di rumah sendiri, bila balik kampung pun kakak rajin basuh pinggan mangkuk. Selalu sangat kakak jadi orang suruhan sebab kakak tak tahu nak kata tidak. Tak tahu nak berdalih.Tak tahu nak menolak.
Agaknya sebab kakak rajin, tak banyak cakap, adik-beradik mama sayang dan hormat kakak. Sampai sekarang dia orang masih panggil nama kakak dengan panggilan mesra, ’gurl’. Mungkin sebab dia orang selalu dengar mama panggil kakak ’gurl’, masa kakak kecik-kecik dulu.
Masa kakak kecik dulu, hidup mama dan daddy susah sangat. Manalah mampu nak ambil pembantu. Mujurlah kakak ni ringan tulang, boleh di harap jaga adik-adik. Mula dari Hanis sampai lah Alisya kakak banyak berkorban tolong mama jaga dia orang.
Kakak memang anak yang baik. Bila mama sakit atau dalam pantang melahirkan adik baru, kakak buat kerja rumah tanpa perlu di suruh. Masa tu umur kak baru 8 tahun , kakak dah pandai bangun pagi, jerang air, buatkan mama milo, sediakan roti dan hantar ke tepi katil mama supaya mama tak perlu turun naik. Kakak dah pandai bancuh susu untuk adik kakak.
Manalah mama tak sayang kakak, sepanjang melahirkan semua adik-adik kakak, kakaklah yang jaga mama. Masa mama pantangkan Imran lagi, kakak masak untuk mama makan tengahari. Kakak pandai goreng ikan, masak sayur, buat sambal. Kakak tolong mama sediakan air mandi baby. Kakak tolong panaskan besi untuk mama bertungku. Bila mak cik urut datang, kakak tolong hidangkan kopi dan biskut untuk makcik tu.
Tahun 1998, memanglah Allah nak duga kita. Masa tu, daddy kena berhenti kerja. Mama pulak memang dah lama berhenti kerja sebab nak jaga anak-anak yang ramai. Walaupun kecewa, mama tak putus harap begitu. Ada duit sikit-sikit, mama buat modal beli barang berniaga nasi lemak. Mama beli payung, beli meja, beli bekas tong untuk jual nasi lemak tepi jalan . Kakak lah yang banyak tolong mama berniaga. Dari menolong di dapur sampailah tolong berniaga tepi jalan. Semuanya mama harapkan kakak tolong. Kakak tak pernah merungut sebab kena buat semua tu. Semuanya kakak buat dengan rela hati. Kakak memang rajin. Kakak memang kuat semangat. Mama bangga, kakak banyak ikut perangai mama. Kakak buang perasaan malu. Macam mama buangkan perasaan malu mama jugak.
Saat yang paling sedih masa tu ialah ketika kita berniaga dalam bulan puasa. Mama berniaga tepi jalan kawasan USJ 11. Masa itu mama suruh kakak jaga gerai, sementara mama balik ambil kuih-muih yang yang masih ada di rumah.
Bila mama datang balik bawa kuih dari rumah, mama tergamam tengok kawasan kita berniaga tu kosong. Eh mana gerai-gerai yang banyak-banyak tadi?Mama nampak ada Lori Penguatkusa MPSJ. Ya Allah habislah barang-barang aku kena rampas.Kena angkut dengan MPSJ. Hati mama cemas. Hati mama berdebar-debar. Rasa lemah longlai. Mata mama tercari-cari kakak. Ya Allah mana anak aku?. Kalau gerai aku hilang, tapi mana anak aku? Mana Liana? Dari dalam kereta mama menangis-nangis. Cepat-cepat mama turun. Mata mama tertumpu kawasan gerai-gerai tu. Kakak tak da di situ.
Tiba-tiba mama nampak kakak duduk di atas batu hujung jalan seorang diri. Bagai diruntun-runtun hati mama tengok kakak. Mama menangis peluk kakak erat-erat. Mama ingat mana kakak hilang tadi. Biarlah gerai mama hilang. Tapi biar matipun mama tak sanggup anak mama yang hilang. Menangis-nangis mama depan penguatkuasa MPSJ merayu minta balik barang-barang mama. Tapi dia orang tu hati kering betul. Dah lah bulan puasa, nak cari rezeki sikit-sikit pun dia orang sanggup rampas barang-barang mama.. Kalau nak berniaga dibazaar ramadhan yang disediakan tu bukan senang nak dapat.
Mama harap kakak bertemu jodoh yang baik sebaik kakak.
HIJRAH ROHANI;
Rasulullah s.a.w telah bersabda
"Ya Allah! Ya Tuhanku! Barangsiapa yang mengurus sesuatu urusan umatku lalu ia menyusahkan mereka, maka balaslah ia dengan kesusahan. Dan barangsiapa yang memudahkan, mudahkanlah urusannya."
Tips Tips Seharian
1. Sekiranya anda sedang mencari-cari product mascara yang terbaik. Cubalah mascara Lancome iaitu Hypnose.
2. Untuk wajah selalu segar pupur wajah anda dengan toner sebagai satu daripada rutin harian anda setiap kali lepas mandi atau sebelum losyen pelembab.
3. Untuk wanita yang ingin menjaga keutuhan hubungan kelamin suami isteri, amalkan petua tradisi ini. Sedia kan tujuh biji buah manjakani dan 7 helai daun sireh. Rebus dengan air sehingga air menjadi dua cawan. Satu untuk di minum dan satu lagi gunakan sebagai air cebuk. Air rebusan boleh digunakan sehingga tujuh kali.
4. Petua untuk dapatkan rambut anak yang cantik dan lebat, waktu mengandung, amalkan makan bubur kacang atau apa sahaja makanan daripada kacang hijau.
5.Amalkan tidur menelentang, bukan meniarap atau mengiring agar wajah anda tidak cepat nampak tua.
6.Selalu berwuduk. Wajah tampak berseri bila dalam air wuduk.
7. Untuk menjadikan sayur brokoli, kacang bendir, peria, kacang panjang dsb yang anda celur kelihatan sangat hijau dan segar, campurkan secubit soda bikarbonat ke dalam air yang digunakan untuk mencelur. Selepas itu angkat sayuran tersebut dan siram air sejuk dengan segera.
8. Sekiranya anda mendapati ikan yang anda goreng dalam minyak melekat dikuali, masukkan dua tiga keeping asam gelugor kedalam minyak tersebut ketika sedang menggoreng. Pasti ikan tak melekat lagi.
9. Jangan beli telur saiz lain selain daripada saiz A. Harga gred A dengan gred C/B tidak begitu banyak bezanya tetapi telur saiz A mempunyai saiz dan berat yang dua kali ganda dari gred C/B.
10.Sekiranya anda sedang menunggu kelahiran, pastikan tidak membeli barangan baby yang mempunyai unsur warna kekuningan. Baby akan menarik aura kuning yang ada disekelilingnya dan mungkin akan menghidap sakit kuning.